Cadangan kepada pengenalan Akta Perhubungan Kaum yang dicadangkan oleh pihak kerajaan semakin mendapat perhatian daripada rakyat. Rata-rata nampaknya mulai menerima hakikat perlunya satu akta khusus untuk menguruskan perhubungan kaum di Malaysia. Jika rata-rata lapisan masyarakat sudah menerimanya, kerajaan tentunya tidak mempunyai masalah untuk menggubal dan membentangkannya di Parlimen kelak. Tinggal lagi, ada tiga perkara pokok yang perlu diperhalusi sebelum akta ini dilaksanakan. Pertama, skop akta perhubungan kaum; kedua, implikasi akta kepada masa depan perhubuungan kaum di Malaysia dari perspektif sosial dan ketiganya peranan pendidikan untuk perpaduan perlu dijenamakan semula (perkara yang dicanangkan oleh para sosiologis dan antropologis Malaysia dari dahulu lagi!!).
Akta yang secara ‘sementaranya’ dinamakan Akta Hubungan Kaum ini masih tidak bersifat menyeluruh dan perlu diteliti dengan lebih mendalam. Asas kepada cadangan akta ini apabila pihak kerajaan mendapati situasi hubungan kaum agak tegang akhir-akhir ini bermula dengan pelbagai tuntutan yang bercanggah dengan semangat kontrak sosial yang difahami ramai sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957. Tuntutan-tuntutan yang dianggap sensitif khususnya kepada para pimpinan Melayu menyebabkan ‘serangan balas’ dilakukan oleh sekumpulan ahli politik Melayu terhadap masyarakat Cina dan India. Jelas sekali elemen yang menjadi isu kepada ketegangan kaum baru-baru ini ialah amarah dan kekecewaan pimpinan Melayu kepada tindakan masyarakat Cina dan India yang mempertikaikan kontrak sosial dan ketuanan Melayu di negara ini (walaupun hakikatnya pemimpin Melayu masih agak tidak jelas tentang perbedaan hak kaum Melayu dan perkara-perkara yang mempertahankan hak kaum Melayu). Sebenarnya situasi ini adalah satu dimensi baru dalam kita membicarakan tentang perpaduan nasional.
Bagaimana nanti pada masa hadapan, ketegangan dalam masyarakat berlaku bukan kerana kaum tetapi berpunca daripada sensitiviti gender, isu agama (sekarang agama tidak lagi menggambarkan identiti satu-satu kaum sepenuhnya), jurang orang kaya dan orang miskin, perbezaan jenis pekerjaan dan sebagainya. Tentu sahaja Akta Hubungan Kaum tidak relevan lagi dan perlu disemak semula untuk menyelesaikan permasalahan yang bukan bersifat perkauman tetapi lebih berasaskan kepada identiti etnik (ethnic identity). Istilah etnik di sini bermaksud pengawalan sensitiviti untuk tujuan perpaduan nasional tidak hanya terhad kepada skop kaum sahaja tetapi lebih perlu menyeluruh meliputi aspek-aspek etnisiti seperti sensitiviti kaum majoriti dan kaum minoriti, sensitiviti agama dan kepercayaan, isu hak gender dan kefahaman adapt istiadat yang berbeza. Oleh itu persoalan hubungan kaum hanyalah salah satu daripada banyak lagi kompenan lain dalam membina perpaduan di kalangan rakyat di negara ini. Oleh yang demikian, akta yang dicadangkan itu lebih sesuai dinamakan Akta Perpaduan Nasional supaya skop perundangan akan menjadi lebih menyeluruh dan benar-benar menepati tujuan untuk menguruskan perpaduan negara.
Melalui Akta Perpaduan Nasional ini maka semua aspek yang menyentuh sensitiviti setiap kumpulan etnik serta menjadi ancaman kepada perpaduan nasional boleh diuruskan dengan berkesan. Seperti dalam semua masyarakat moden yang lain, masyarakat negara ini juga senantiasa mengalami perubahan samada secara fizikal, gaya hidup, pengetahuan dan juga mentaliti. Oleh itu, Akta Perpaduan Nasional ini perlu diperincikan agar sentiasa terkehadapan dalam menguruskan perubahan masyarakat. Bagaimanapun, pengenalan akta ini juga akan membawa kepada implikasi yang cukup besar kepada masa depan pembangunan hubungan kaum di Malaysia. Dahulu, ketika pihak kolonial British mendesak supaya pemimpin Melayu bersetuju memberikan hak kerakyatan kepada kaum Cina dan India, secara perundangannya definisi kerakyatan menyebabkan pengekalan identiti Melayu, Cina dan India serta lain-lain kaum menjadi dominant dan sangat jelas ciri etniknya. Akibatnya, masyarakat negara ini telah terpisah-pisah dengan membawa pengenalan kaum masing-masing secara meluas, Begitu juga, apabila sistem pendidikan negara diperundangkan berasaskan kaum dengan pengenalan Laporan Pelajaran Barnes 1950, Ordinan Pelajaran 1952, Laporan Fenn Wu 1952, Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 berasaskan ketentuan kaum, terbentuklah dengan begitu kukuh sekali sistem pendidikan vernakular di negara ini. Sistem pendidikan vernakular yang dilindungi undang-undang telah memisah-misahkan pelajar mengikut kaum secara khusus sehingga mereka tidak berpeluang untuk mengenali kaum-kaum yang lain sehingga tamat persekolahan.
Begitu juga apabila pengenalan Dasar Bahasa Kebangsaan dengan tujuan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, walaupun bertujuan murni tetapi juga secara tidak langsung telah mengukuhkan lagi sempadan etnik apabila kaum bukan Melayu berkeras memperjuangkan supaya bahasa ibunda mereka dikekalkan. Begitu juga dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang sepatutnya bersifat sepunya tetapi secara tidak langsung dikatakan telah ‘mengetepikan identiti kebudayaan bukan Melayu’ (sekurang-kurangnya itulah yang kaum bukan Melayu fikirkan). Kini kita akan memperkenalkan pula Akta Hubungan Kaum yang secara jelas dan muktamad akan mendefinisikan setiap kaum mengikut ciri-ciri yang khusus. Pengenalan akta ini akan menyebabkan setiap kaum diidentifikasikan berasaskan sempadan identiti yang khusus sebagai asas melancarkan urusan perundangan. Maka siapa Melayu, siapa Cina, siapa India akan menjadi sangat penting kepada akta ini. Maka tindakan yang dianggap atau diklasifikasikan sebagai bertentangan dengan Akta Hubungan Kaum ini akan ditentukan berasaskan siapakah dan dari kaum manakah seseorang defendan dan plaintif itu datang? Maka akan timbul beberapa masalah di sini. Misalnya, apakah jika orang Melayu menyentuh sensitiviti kaum Cina/India atau sebaliknya sahaja akan dikenakan pertuduhan, bagaimana pula jika orang Melayu, Cina atau India menyentuh sensitiviti kaum masing-masing? Apakah perlakuan ini juga dianggap sebagai melanggar Akta Hubungan Kaum yang boleh membawa pertuduhan yang sama? Bagaimana jika seseorang Cina Muslim menyentuh sensitiviti berkaitan agama Islam, apakah larangan akan dikenakan jika ada bantahan bersifat perkauman daripada kalangan kaum Melayu atau apakah akta ini sebenarnya hanyalah salinan semula daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)?
Secara teknikal, pastinya ahli undang-undang mempunyai jawapan kepada semua persoalan di atas. Tetapi tentunya akan lebih teratur dan berkesan jika urusan membina perpaduan melalui hubungan kaum ini dilihat terlebih dahulu secara serius oleh pakar-pakar pendidikan perpaduan (sosiologis dan antropologis) di negara ini. Mengapa tidak kita mulakan dengan membina satu kerangka baru pendidikan untuk perpaduan dan dilaksanakan secara serius dan menyeluruh di sekolah-sekolah dan hanya selepas itu barulah diikuti dengan pengenalan kepada Akta Perpaduan Nasional ini. Tentu sahaja membina akta lebih mudah berbanding membina kerangka pendidikan untuk perpaduan tetapi percayalah bahawa membina hubungan kaum, hubungan antara agama dan hubungan antara gender adalah lebih kuat pengaruhnya melalui pengalaman pendidikan berbanding pengalaman undang-undang. Sebagai contoh mendidik anak-anak menghormati perlembagaan negara jauh lebih baik dan berkesan daripada mengadakan akta dan undang-undang untuk menghukum seseorang warganegara yang mempertikaikan perlembagaan tersebut. Lebih baik mencegah daripada mengubati, itulah nasihat orang tua-tua.
Dengan bermulanya akta ini nanti, maka bentuk hubungan kaum akan berubah kepada berpaksikan perundangan dan tidak lagi atas dasar persefahaman, toleransi dan muhibah sebagaimana yang diamalkan selama ini. Betul, proses interaksi hubungan kaum masih berlaku seperti dahulu tetapi kewujudan akta ini akan menyebabkan kita lebih cenderung untuk menggunakan undang-undang bagi menyelesaikan isu berkaitan hubungan kaum berbanding menggunakan perundingan, tolak ansur dan saling menghormati sebagai asasnya seperti sekarang. Jika keadaan in terus-menerus berlangsung, maka lima puluh tahun lagi pun isu kontrak sosial dan segala macam tuntutan akan masih kedengaran apabila sensitiviti kaum disentuh oleh kaum lain. Bezanya, di negara-negara maju walaupun isu hubungan kaum masih wujud tetapi ketegangan bersifat individu dan tidak dilihat sebagai ketegangan kaum. Malah setiap kali ketegangan antara dua individu berbeza warna kulit berlaku, isu asal-usul serta keturunan jarang sangat digunakan untuk menyerang atau menghina lawannya. Masyarakat pula lebih cenderung melihat sesuatu konflik antara dua individu berbeza etnik sebagai isu individu. Oleh sebab itu, walaupun Akta Hubungan Kaum ini masih ingin diteruskan, peranan pendidikan mestilah pada masa yang sama diperkuatkan.
Pendidikan multi-budaya (multicultural education) perlu mula diperkenalkan sebagai elemen utama kurikulum pendidikan negara. Pakar pedadogi pendidikan tentu sahaja boleh merungkaikan persoalan bagaimana pendidikan multi budaya ini boleh disampaikan kepada pelajar secara yang paling berkesan samada merentas kurikulum ataupun sebagai satu matapelajaran khusus. Peranan subjek sejarah dalam mengungkap perpaduan kaum nampaknya tidak lagi berjaya seperti yang diharapkan samada dari perspektif isi kandungan dan juga strategi pengajaran dan pembelajaran.
Kerajaan telah pun mendapat sokongan dalam memperkenalkan Akta Hubungan Kaum ini. Sekalian rakyat yang cintakan keamanan dan kesejahteraan negara tentunya gembira dengan langkah ini. Tinggal lagi, apabila kita sebagai insan bermaruah bercakap soal membina hubungan kaum, tidak dapat tidak maka rasa persefahaman, keikhlasan berkomunikasi, toleransi serta saling percaya mempercayai masih penting. Malah sebenarnya jauh lebih penting daripada kepatuhan kita kepada sebarang akta dan undang-undang buatan manusia…….
Nota: Menjadi harapan aku agar pakar-pakar sosiologis dan antropologis dilantik bersama mereka yang lain menganggotai jawatankuasa pembuat dasar akta ini. Nama-nama seperti Profesor Datuk Dr. Zainal Kling (Profesor Sains Sosial UPSI), Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin (Pengarah Institut Kajian Etnik UKM), Tan Sri Profesor Datuk Seri Panglima Dr. Abu Hassan Othman (Naib Canselor Universiti Kolej Berjaya dan bekas Naib Canselor UMS) dan Profesor Dr. Mohamed Aris Othman (Profesor Antropologi Budaya UIAM – penyelia latihan ilmiah dan tesis sarjana aku, merangkap pambimbing dan ‘ayah’ aku!!) bolehlah dipertimbangkan oleh kerajaan untuk menyertai jawatankuasa tersebut.
Friday, October 10, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment