Secara amnya, sesebuah ekonomi terdiri daripada tiga struktur penting yang saling menyokong iaitu pasaran kewangan dan modal, pasaran pengeluaran dan pasaran guna tenaga atau sumber manusia. Senario krisis ekonomi yang berlaku pada ketika ini adalah krisis kewangan global yang melanda kebanyakkan negara-negara maju di dunia terutama Amerika Syarikat (AS) dan benua Eropah.
Tetapi kita perlu sedar jika situasi ini tidak ditangani dengan bijak, ia boleh mengheret kepada keadaan yang lebih kritikal kepada seluruh ekonomi dunia dan negara-negara membangun, seperti Malaysia, yang turut akan merasai impaknya kerana kebanyakkan negara-negara tersebut mempunyai hubungan ekonomi dengan negara-negara maju. Menyedari hakikat kemusnahan dan musibah yang boleh dibawa oleh krisis kewangan ini, kerajaan mana-mana negara pun perlu lebih proaktif dalam menentukan dasar-dasar yang boleh menanganinya. Ironinya, dahulu kerajaan negara maju seperti AS tidak bersetuju dan menentang campur tangan kerajaan dalam urusan ekonomi dan perniagaan sesebuah negara. Mereka berpandangan dasar neo-klasikal dengan pasaran hendaklah bebas daripada unsur-unsur campur tangan kerajaan iaitu pasaran bebas. Contohnya, AS pernah mengutuk dasar mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dalam menangani krisis kewangan yang melanda negara-negara Asia pada tahun 1997. Alasan yang diberikan oleh mereka pada ketika itu adalah kerajaan sebenarnya menggalakkan ketidakcekapan dalam ekonomi dengan membenarkan syarikat-syarikat yang kurang berupaya untuk terus wujud.
Ternyata kritikan dan pandangan mereka itu sebenarnya memakan diri mereka sendiri malah mereka kini meniru dan mengguna pakai pula dasar Malaysia dalam menangani krisis kewangan serantau tahun 1997 itu dengan menyediakan bertrilion-trilion ringgit bagi menangani krisis kewangan yang melanda mereka. Dalam menangani masalah kewangan sebegini, suasana sosio-politik ekonomi adalah penting dalam menentukan mekanisme yang bersesuaian. Namun persoalan pokok yang perlu difahami ialah kerajaan perlu campur tangan melalui dasar yang diperkenalkan bagi memastikan kestabilan sosio-politik ekonomi sesebuah negara dan bukan hanya membiarkan ia ditentukan oleh pasaran bebas semata-mata. Campur tangan kerajaan dalam ekonomi bukanlah sesuatu yang baru dalam teori ekonomi konvensional. Malah kaedah menstabilkan ekonomi ini telah menunjukkan kesan positif semasa berlakunya Great Depression selepas Perang Dunia Kedua yang dipelopori oleh John Maynard Keynes.
Selaras dengan dasar yang telah dilakukan oleh negara-negara maju baru-baru ini, Malaysia juga mengambil langkah awal dengan meminjam RM 5 bilion dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memperuntukkan kepada Valuecap untuk membeli saham-saham di Bursa Malaysia. Ini adalah salah satu usaha kerajaan untuk mengekang kejatuhan drastik kepada pasaran saham negara. Usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan ini adalah penting kerana ia merupakan isyarat yang jelas untuk tidak akan membiarkan ekonomi negara ditentukan sepenuhnya oleh pasaran bebas semata-mata terutamanya dalam menghadapi krisis ekonomi sebegini serta memberi keyakinan kepada para pelabur terhadap ekonomi negara amnya.Perlu diingat juga, sekiranya krisis dalam pasaran modal global ini tidak ditangani dengan bijak, sudah pasti ia akan merebak ke pasaran pengeluaran di mana ia boleh menyebabkan kemelesetan ekonomi dan seterusnya memberi kesan kepada pasaran guna tenaga pula yang akhirnya akan mengakibatkan pengangguran.
Oleh itu, langkah proaktif kerajaan dalam memberi sokongan ke dalam pasaran modal adalah bertepatan dengan keadaan semasa yang berlaku demi kesejahteraan rakyat Malaysia. Dalam keadaan krisis sebegini, harga saham selalunya tidak menggambarkan prestasi dasaran syarikat-syarikat yang tersenarai dan kebanyakkan diniagakan kurang dari nilai sebenar saham berkenaan. Pelabur yang bijak akan mengambil kesempatan dengan membeli saham-saham sedemikian bagi pelaburan jangka masa panjang. Oleh itu, melalui dana yang disediakan kepada Valuecap ini memberi pilihan kepada kerajaan untuk bertindak sebagai pelabur di samping memberi sokongan kepada pasaran saham keseluruhannya. Sebagai contohnya, semasa berlaku krisis kewangan yang melanda kebanyakkan negara Asia pada 1997, saham-saham mewah Malaysia telah jatuh ke paras terendah. Antaranya saham Maybank yang jatuh di bawah paras RM 4 sesaham dan selang beberapa tahun selepas krisis itu pulih, harga sahamnya telah meningkat secara berganda dan memberikan keuntungan yang tinggi kepada para pelabur.
Namun, AMATLAH PENTING bagi Valuecap membuat keputusan pelaburan membeli saham-saham secara berhemat dengan harga pasaran saham yang hendak dibeli kurang dari nilai sebenar saham tersebut bagi mengelakkan kerugian. Kita perlu bersikap positif dan menangani krisis ini dengan bijak kerana krisis ekonomi yang berlaku sebenarnya memberikan peluang kepada para pelabur-pelabur yang mempunyai modal untuk membeli saham-saham murah. Oleh itu, langkah kerajaan memberikan dana kepada Valuecap ini perlu dilihat juga sebagai satu peluang pelaburang yang strategic. Dan apa yang penting kini adalah langkah ini bukannya merupakan satu strategi ‘bailout’ atau penyelamat kepada segelintir syarikat yang bermasalah kerana dasar rangsangan pasaran saham ini pada asasnya adalah kepada pembelian saham yang mempunyai harga lebih rendah dari nilai pasaran dan berbentuk dasaran. Terdapat kritikan yang mempertikaikan kerajaan menggunakan sumber dana kerajaan dari dana KWSP yang mengaitkannya dengan dana untuk kebajikan pekerja. Realitinya, kita perlu fahami bahawa selama ini pun, KWSP memang menjadi salah satu dari punca dana kerajaan dalam membiayai keperluan rakyat seperti PTPTN, pendidikan, pinjaman perumahan dan sebagainya. Kerajaan tidak memperolehi dana ini secara percuma, malah kerajaan menyumbang kembali kepada pendapatan KWSP dalam bentuk faedah yang dibayar bagi pinjaman yang diperolehi. Dari aspek lain pula, pinjaman sebegini tidak merugikan negara kerana wang pinjaman tersebut tidak mengalir ke luar negara dan tidak akan menjejaskan rizab antarabangsa negara. Dari perspektif lain jua, langkah ini sebenarnya menguntungkan KWSP itu sendiri kerana mereka juga mempunyai banyak pegangan saham di syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Oleh itu, secara tidak langsung sokongan kerajaan ke atas pasaran saham melalui Valuecap ini mampu mempertahankan kedudukan nilai aset pegangan institusi seperti KWSP, Permodalan Nasional Berhad (PNB), dan Kumpulan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Kesimpulannya, dana RM 5 bilion yang dipinjam oleh kerajaan dari KWSP merupakan satu jumlah yang kecil sebenarnya jika dibandingkan dengan RM 2 trilion bantuan kerajaan AS dalam menangani krisis sub-prima yang melanda negara tersebut. Kaedah yang digunakan oleh kerajaan Malaysia ini merupakan satu kaedah yang tidak bercanggah dengan teori ekonomi konvensional dalam memberikan sokongan kepada pasaran dan bukannya merupakan satu langkah ‘bailout’ seperti yang dinyatakan di atas. Kesan RM 5 bilion ini perlu dilihat secara holistik dimana kesannya nanti dapat mengurangkan kemungkinan kemelesetan ekonomi dan pengangguran. Kegagalan mengawal kemelesetan pasaran modal ini akan membawa kepada kesan yang lebih serius dimana krisis ini boleh memberikan impak yang negatif dan akan memeritkan kehidupan rakyat secara keseluruhannya. Adalah disarankan juga agar kerajaan dapat bersedia dalam menyediakan dana yang lebih besar jika krisis kewangan global ini semakin meruncing bagi mengelakkan kemelesetan ekonomi. Pada masa yang sama, kerajaan PERLU JUGA MEMASTIKAN kecairan dalam ekonomi bagi merancakkan aktiviti ekonomi melalui dasar fiskal dan kewangan yang berkembang.
========================================
Karangan di atas sama sekali tidak bermaksud untuk membodek kerajaan atau apa sahaja yang bersamaan dengannya. Namun dalam kita membahaskan dan mengupas kesan krisis sub-prima AS ke atas ekonomi negara, perlulah kita bersikap dan berfikiran terbuka. Tanpa bersandarkan pada mana-mana sentimen mahupun kecondongan fahaman politik. Kerana jika isu ini dipolitikkan, ianya akan menyusahkan dan membantutkan usahah-usaha yang sedang diambil untuk menangani kemelut ekonomi ini dari terus parah dan melumpuhkan fundamental ekonomi negara. Sekian, pandangan dan peringatan dari si dungu.
Nota: Aku menulis karangan ini sambil mendengar hidangan halwa telinga, Sway, dendangan Michael Buble. Pada mereka yang tahu tue, buat-buatlah macam tak tahu. Kang ader yang kena sepak nanti. Huhuhuhuhuhuhuhuhu (“,)
Wednesday, October 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment