Friday, September 26, 2008

Dan Senyuman Mereka, Manis......

Umur aku dah genap 26 tahun bulan ini. Walaupun pada hari tersebut aku tidak ada di sini, namun mereka semua tidak lupa pun mengucapkan selamat hari lahir pada ku. Dan di kejauhan, kegembiraan itu masih terasa walaupun ada terpalit rasa gelisah. Gelisah waktu itu kerana pelbagai perkara. Runsing minda ku. Tapi itu bukan kisahnya kali ini.


Yang ingin aku coretkan ialah setelah berumur 26 tahun ini, aku baru terfikir tentang kehidupan aku yang lalu. Seronok juga waktu kecil-kecil dulu. Kisah melastik burung dengan biji getah. Kisah bermain rakit ketika hari atau musim hujan. Kisah makan aiskrim selepas abis sekolah sampai comot baju sekolah. Kisah panjat pokok rambutan sampai jatuh terseliuh kaki. Macam-macamlah. Semuanya lengkap; suka, duka, gembira, ketawa, menangis. Semuanya ada. Tapi bila aku fikir-fikir balik, tidak semua kanak-kanak akan melalui zaman dan waktu sedemikian. Apatah lagi kalau mereka tiada tempat bergantung, hilang ayah dan ibu.


Lantas aku menyimpan satu cita-cita di sudut sanubari aku, kalau diizinkan Tuhan, aku ingin membuka rumah dan sekolah anak-anak yatim. Aku sedar cita-cita itu masih jauh untuk aku capai. Maka aku mulakan dengan rumah anak-anak yatim yang tempoh hari aku hulurkan bantuan. Wajah-wajah comel mereka buat hatiku rasa teramat gembira. Senyuman mereka buat aku turut rasa gembira. Soalan-soalan mereka aku layan dan aku jawab satu per satu. Yang kelakarnya, ada yang memanggilku abang, dan ada jua yang memanggilku ayah. Namun aku membiarkan sahaja apa yang mereka ingin memanggilku. Dan aku harap, ole-ole yang aku dan teman-teman bawa tempoh hari dapat menzahirkan rasa gembira buat mereka menyambut Syawal kali ini. Dan aku bercita-cita, kalaulah aku punyai banyak wang pada masa hadapan, akan ku bawa mereka mengembara melihat dunia. Dunia yang penuh pancaroba. Biar mereka tahu dan sedar, indahnya dunia ini, luasnya dunia ini. Dan biar juga mereka tahu, dunia ini bukan hanya batu-bata yang melingkari kehidupan mereka itu. Tapi lebih dari itu.


Pesanku sebelum meniggalkan mereka; jalanilah kehidupan kamu semua dengan senyuman. Senyuman pasti akan menceriakan!!


Buat ayah; jikalau kau ada menyaksikan kesemua ini, ku harap kau gembira. Tiada sesaat pun waktu yang berlalu, aku melupai nasihat-nasihat mu. Moga ini mampu buat mu tersenyum.......

No comments: