Tidak sampai tiga minggu lagi semua mata pastinya tertumpu kepada pilihanraya Presiden Amerika Syarikat (AS) melibatkan calon dari Parti Demokrat, Barack Hossein Obama, dan John McCain dari Parti Republikan. Pilihanraya tersebut akan diadakan pada 4 November depan akan turut disertai dengan pemilihan calon Naib Presiden iaitu Joseph Biden dari Demokrat dan Sarah Palin dari Republikan.
Kemeriahan kempen membabitkan kesemua calon ini kini sudah sampai hampir ke kemuncaknya dengan kedua-dua calon Presiden saling berkempen dan bertelagah mengenai pelbagai isu dan dasar yang dikatakan terbaik menangani berbagai-bagai masalah dan kemelut yang melanda negara kuasa besar dunia itu. Setelah melalui pelbagai kempen yang diadakan di serata pelosok negara, akhirnya saat yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakkan rakyat AS dan sebahagian penduduk dunia akhirnya berlaku pada 26 September lepas. Sebagai sebuah negara yang senantiasa mengagungkan diri sebagai pengamal demokrasi tulen, pastinya siri debat Presiden AS ini merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan oleh para pengundi yang akan memilih calon mana yang akan menjadi pilihan mereka. Ini kerana debat sulung dari tiga siri debat Presiden yang diadakan ini akan membuktikan ketokohan dan keupayaan sebenar para calon yang bertanding kepada khalayak umum.
Dalam siri debat pertama yang diadakan di Universiti Mississippi dan dipengerusikan oleh pembaca berita NewsHour dari PBS, Jim Lehrer, kedua-dua calon pada awalnya dijangka lebih tertumpu pada dasar luar dan isu keselamatan nasional. Namun ia berubah menjadi perdebatan mengenai kegawatan pasaran Wall Street yang sebelum ini telah pun mendominasi kempen kedua-dua calon. Debat tersebut berlangsung selama 90 minit dan disiarkan secara langsung ke seluruh negara. Dalam debat itu, Obama menuduh krisis di Wall Street yang kini merebak ke seluruh dunia adalah disebabkan dasar ekonomi Republikan yang gagal. Obama turut menyatakan McCain akan memotong cukai golongan orang kaya dan korporat serta berulang kali mengaitkan lawannya itu dengan dasar yang dilaksanakan oleh Presiden George W. Bush ketika ini. McCain dalam jawapan balas berkata, beliau akan membekukan perbelanjaan persekutuan membabitkan program Presiden, pertahanan dan penjagaan golongan veteran dan menuduh Obama sebagai seorang yang liberal apabila mengamalkan perbelanjaan yang sangat besar. Bagaimanapun kedua-dua calon menyatakan sikap optimis mereka bahawa Kongres akan meluluskan pelan menyelamat sektor kewangan negara tersebut berjumlah AS 700 bilion (RM 2403.39 trilion) yang diumumkan sebelum ini. Mereka juga sependapat bahawa perbelanjaan yang besar itu akan menghadkan agenda mereka selaku Presiden sekiranya dipilih kelak.
Selain isu ekonomi, kedua-dua calon juga bertelagah mengenai isu perang di Iraq. Obama yang juga Senator Illinois mengkritik pertimbangan McCain yang menyokong penaklukan negara itu. McCain sebaliknya berkata persoalan utama yang akan dihadapi oleh Presiden yang akan datang ialah ‘bagaimana dan bila masanya untuk berundur’. Menurutnya Obama mempunyai pertimbangan yang rendah apabila gaga lmenyokong dasar kemaraan melalui penghantaran lebih ramai tentera ke Iraq yang telah pun berjaya mengurangkan keganasan di negara itu. Debat itu bagaimana pun melihatkan kegelisahan dan sikap panas baran McCain berbanding Obama yang kelihatan tenang sepanjang ia berlangsung. Sikap Senator dari Illinois inilah yang membantu melonjakkan populariti dan keyakinan pengundi terhadapnya apabila tinjauan pendapat yang diadakan sejurus kemudian mendapati sokongan terhadap beliau melonjak secara mendadak. Memandangkan keputusan pilihanraya Presiden AS bersandarkan keputusan undi di negeri-negeri berbanding undi keseluruhan, Obama mendahului lebih 50 peratus di negeri seperti Ohio, Florida dan Pennsylvania berdasarkan tinjauan yang dikeluarkan oleh Quinnipiac University. Negeri-negeri ini sangat penting bagi calon Presiden yang bertanding kerana sejak tahun 1960 tiada seorang pun Presiden AS yang menang tanpa mendapat undi sekurang-kurangnya di dua dari tiga negeri tersebut. Tinjauan oleh Associated Press (AP) dan GfK pula mendapati Obama mendahului McCain dengan kelebihan tujuh mata, 48-41, di seluruh negara.
Selepas debat Presiden kali pertama, kini semua mata tertumpu kepada satu-satunya debat membabitkan dua calon Naib Presiden yang berlangsung di kampus dewan Universiti Washington di St Louis, Missouri. Sudah pasti semua orang ternanti-nanti apakah Sarah Palin boleh membuktikan kebolehan dalam perdebatan yang pastinya akan turut menonjolkan kemampuannya dalam memimpin negara jika sesuatu kejadian buruk berlaku pada McCain. Gabenor Alaska itu sememangnya sering dipertikai kebolehan kepimpinannya memandangkan pengalamannya yang baru setahun jagung serta beberapa kontroversi yang membabitkan keluarganya. Sesungguhnya perdebatan yang berlangsung pada 2 Oktober itu ternyata tidak mengecewakan dengan kedua-dua calon saling bertikam lidah berhubung isu ekonomi dan perang di Iraq. Namun yang paling penting pastinya bagaimana kedua-dua mereka bertindak mempertahankan bos maing-masing serta dasar-dasar yang diperjuangkan. Pun begitu, debat tersebut berlangsung dalam keadaan yang terkawal dan beradab serta ia lebih fokus kepada kritikan terhadap calon-calon Presiden. Bagaimanapun Palin dilihat berjaya muncul dengan agresif dan bersemangat, serta berulang kali menyerang dasar-dasar yang diutarakan oleh Obama. Beliau juga mengulangi janjinya akan bersama-sama McCain untuk memperjuangkan nasib golongan pertengahan. Manakala Biden yang juga Senator Delaware serta lebih berpengalaman, menuduh McCain sebagai calon Presiden yang sudah ketinggalan zaman dalam menangani krisis ekonomi yang melanda Amerika Syarikat. Namun kedua-dua calon Naib Presiden itu komited untuk menyelesaikan masalah ekonomi yang kini menghantui negara itu dengan mengubah polisi ekonomi kearah lebih mesra kepada golongan pekerja kelas pertengahan.
Kehangatan kempen diteruskan dengan siri kedua debat Presiden yang diadakan di sebuah dewan orang ramai di Nashville, Tennessee yang leibh kecil dan kurang formal berbanding debat kali pertama. McCain seperti biasa melemparkan kritikan demi kritikan ke atas Obama dalam debat yang diadakan pada 8 Oktober lepas. Bagaimana pun McCain gagal memberikan persembahan yang menyerlah yang dapat membantu memulihkan kedudukannya yang kini ketinggalan di belakang calon Demokrat itu. Calon harapan Republikan itu melangkah ke gelanggang debat dengan berbekalkan cadangan pelan pemulihan ekonomi berjumlah AS 300 bilion (RM 1.02 trilion) untuk membelik hutang lapuk sektor perumahan AS yang turut menjadi faktor mengheret ekonomi global ke dalam krisis. Tindakan McCain ini dilihat sebagai usaha untuk mengatasi kelebihan Obama berhubung isu ekonomi namun pelan tersebut tidak memberi impak yang diharapkan. McCain menghadapi tekanan hebat untuk menyuntik nafas baru ke dalam kempennya memandangkan beliau ketinggalan di belakang Obama berddasarkan tinjauan pengundi yang dijalankan diseluruh negara. Hakikatnya masa kini semakin suntuk bagi beliau menonjolkan diri sebelum pilihanraya Presiden. Tinjauan CNN selepas debat itu mendapati 54 peratus responden berpendapat Obama memenangi debat itu, manakala 30 peratus lagi melihat McCain sebagai pemenang. Setelah melalui dua siri debat Presiden, Obama masih dilihat meninggalkan jauh McCain dari segi populariti dan tinjauan yang dijalankan.
Tarikh 15 Oktober menjadi landasan terakhir bagi kedua-dua calon untuk menonjolkan diri siapa calon yang terbaik yang perlu menjadi pilihan pengundi kerana pada tarikh inilah debat Presiden siri ketiga yang jua kali terakhir akan berlangsung. Bagaimana pun kempen ini sekali lagi gagal membuktikan kewibawaan dan ketokohan McCain walaupun dikatakan debat ini yanf diadakan di Universiti Hofstra, merupakan yang terbaik dilakukan beliau berbanding dua siri debat sebelumnya. Seperti biasa Obama tetap kekal dengan imej tenang dan bersahaja dalam menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. McCain yang kelihatan terdesak tanpa berlengah terus menyerang polisi percukaian Obama yang dikatakan tidak sesuai ketika negara itu sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang semakin meruncing dan menyelar hubungan baik Obama dengan tokoh radikal, William Ayers. Bagaimanapun, Obama berjaya menekan seterunya dalam debat yang berlangsung selama 90 minit itu dengan menyerang balas McCain sebagai penyokong dasar ekonomi yang dilaksanakan Bush dan akan tetap meneruskan dasar-dasar tersebut. Namun di sinilah kesilapan paling besar bagi McCain yang gagal mengurus emosinya yang sepatutnya lebih terkawal memandangkan usianya yang sudah lanjut. Beliau dengan nada marah menegaskan bahawa dirinya bukan Presiden Bush dan tidak mahu disamakan sama ada dari segi gaya dan matlamat pemerintahannya dengan Presiden yang akan menamatkan pemerintahan beliau tidak lama lagi.
Tinjauan pendapat yang dilakukan selepas itu mendapati Obama dilihat sebagai pemenang debat itu serta menjadi pilihan ramai untuk menyelematkan ekonomi AS yang kini semakin merudum. Pemilihan in yang dilakukan oleh beberapa agensi berita seperti CNN dan CBS mendapati orang ramai memilih Obama dan berjaya meyakinkan mereka melalui debat tersebut dengan meninggalkan seterunya sebanyak 27 peratus.
Pilihanraya Presiden kali ini sebenarnya akan mencatatkan sejarah tersendiri jika mana-mana calon terpilih sebagai pemimpin. Ini kerana jika Obama menang beliau akan menjadi Presiden pertama dari golongan kulit hitam manakala McCain pula akan menjadi Presiden paling tua memegang jawatan itu jika terpilih. Bagaimanapun, walau apa pun keputusannya nanti, hakikatnya kita sendiri sedia maklum tiada apa perubahan jelas akan berlaku membabitkan negara-negara Islam secara khasnya dan dunia keseluruhannya. Apatah lagi AS sendiri sedang gawat dan caca marba berikutan krisis ekonomi yang dikatakan antara paling buruk dalam sejarah penubuhan negara itu. Lebih malang lagi, berikutan hegemoni kuasa dan ekonomi secara total oleh negara yang terkenal dengan jolokan ‘uncle Sam’, ia turut mengancam dan melimpahkan kekalutan ekonomi mereka ke negara-negara lain. Malah setiap negara di dunia sedang ternanti-nanti apakah tindakan seterusnya yang akan dilakukan oleh AS. Kini sudah kedengaran suara-suara yang menyalahkan model pasaran bebas yang tidak dikawal-selia diketuai AS dan Britain sebagai punca krisis ini berlaku. Jika sebelum ini mereka beranggapan pasaran bebas yang tidak dikawal-selia ini akan memberikan momentum yang kukuh dalam perjalanan ekonomi dan disiplin pasaran itu sendiri memadai sebagai kuasa pemantau namun kini suasananya telah berubah. Krisis ekonomi yang semakin mencengkam dunia sememangnya tidak dapat dinafikan berpunca dari ketamakan AS sendiri dan kini segalanya telah terlerai dan akhirnya memakan diri sendiri. Semuanya ini hanyalah sebahagian dari masalah yang terpaksa ditanggung bakal Presiden AS disamping pelbagai masalah lain yang melanda dunia ketika ini.
Siapa bakal Presiden AS hanya akan ditentukan pada 4 November depan. Namun di atas kertas nama Obama kini dilihat semakin pasti akan muncul pemenang berdasarkan tinjauan pendapat dan pandangan beberapa penganalisis terkenal. Namun semuanya itu belum pasti dan masih kabur untuk dinilai, dan hanya masa dan kuasa rakyat sahaja yang akan menentukan siapa sebenarnya antara dua calon ini yang akan memimpin mereka sekaligus mewarisi beban yang kini ditanggung oleh Presiden George W. Bush.
Thursday, October 23, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment