Tuesday, January 13, 2009

Sarjana Islam Terulung: Biografi Ringkas


Kira-kira 20 tahun lalu peristiwa itu amat menyayat hati. Pada 27 Mei 1986, dalam waktu dinihari bulan Ramadan al-Mubarak, Prof Dr. Ismail Raji’ al-Faruqi dan isteri, Dr. Lois Lamya al-Faruqi dibunuh dengan kejam setelah ditikam bertalu-talu oleh seorang lelaki misteri. Anak perempuannya Anmar al-Zein terselamat, itu pun terpaksa dirawat dengan lebih 200 jahitan juga akibat tikaman si penjenayah yang tidak berhati perut itu. Kejadian dalam banglo kediamannya di Wyncote, Pennsylvania, Amerika Syarikat itu amat tragis kepada seluruh umat Islam termasuk pengikut beliau, sebahagian besar adalah anak murid beliau yang diasuh di Universiti Temple, Philadephia. Semuanya bungkam, terkejut, kecewa dan bersedih. Ismail Raji’ al-Faruqi adalah professor Pengajian Islam, khususnya dalam disiplin perbandingan agama, satu cabang kepakaran khusus yang amat diperlukan dalam mempertahankan maruah dan wibawa Islam dan ummah. Kepakaran itu amat diperlukan dalam suasana hari ini ketika umat Islam menghadapi pelbagai cabaran globalisasi selain dilabelkan sebagai agama yang menganjurkan keganasan.

Sebahagian besar hayatnya, sarjana dan ulama kelahiran Jaffa, Palestin ini mengabdikan diri dalam usaha memartabatkan ilmu-ilmu Islam atau lebih terkenal sebagai Islamisasi Ilmu (Islamization of Knowledge). Dakwah beliau ialah menerusi gerakan jihad intelektual, satu gerakan keilmuan yang mengajak umat Islam agar giat mempelajari dan mengembangkan ilmu pengetahuan. Khazanah warisan keilmuan Islam dimanfaatkan dan disepadukan dengan ilmu-ilmu moden bagi menzahirkan satu sintesis ilmu yang begitu berharga. Ia adalah gabungan antara ilmu-ilmu wahyu dan ilmu-ilmu akli. Fokus itulah yang menatijahkan beliau bersama-sama rakan sarjana seperti Sheikh Dr. Taha Jabir al-Alwani dan Dr. Abdul Hamid Abu Sulayman menubuhkan Institut Antarabangsa Pemikiran Islam (IIIT), berpusat di Washington DC.

Usaha kesarjanaan dan kecendekiawannya amat progresif sehingga beliau menulis kira-kira 25 buah judul buku dan beratus-ratus makalah berkaitan pemikiran Islam, tamadun dan perbandingan agama. Beberapa daripada judul karya beliau terus menjadi rujukan sehingga sekarang termasuklah Islamization of Knowledge (1982), Tawhid: Its Implications for Thought and Life ((1982), The Cultural Atlas of Islam (1986) dan Islam and The Problem of Israel (1980). Sebahagian daripada karya monumental seperti Islamization of Knowledge dan The Cultural Atlas of Islam sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka.

Faruqi pernah menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Universiti Amerika di Beirut, Lebanon, Universiti Harvard, Amerika Syarikat manakala ijazah kedoktorannya diraih dari Universiti Indiana, Amerika Syarikat dalam tahun 1952. Beliau berpengalaman luas berkhidmat di beberapa universiti di Timur Tengah dan beberapa universiti di Amerika Utara termasuk Universiti McGill, Montreal, Kanada. Beliau juga pernah bertugas sebagai profesor Pengajian Islam di Institut Penyelidikan Islam Karachi, Pakistan. Namun tugas kesarjanaan tidak menghalang beliau untuk menubuhkan Kumpulan Pengajian Islam, Akademi Pengajian Agama di Amerika dan menjadi pengerusi untuk tempoh 10 tahun selain menyumbang perkhidmatan sebagai Naib Presiden Kolokium Keamanan Antara Agama.

Pandangan keilmuan Islam yang diketengahkan beliau menggabungkan kebenaran wahyu Illahi di samping kekuatan dalil rasional dan hujah saintifik. Menjelang penghujung karier dan hayatnya, Faruqi memberi penekanan yang lebih radikal terhadap gagasan Islamisasi Ilmu. Pandangan beliau adalah jelas, iaitu krisis dunia moden hari ini adalah krisis ilmu pengetahuan. Manakala kaedah bagi merawat krisis ini tidak lain dan tidak bukan adalah melalui satu sintesis baru ilmu pengetahuan menggunakan kerangka epistemologi Islam. Baginya, Islamisasi Ilmu adalah satu seruan agar orang Islam menjadi peserta intelektual yang aktif dan memberikan sumbangan untuk memajukan ummah. Bagaimanapun, wadah IIIT yang diasaskannya dilihat hanya memberi tumpuan terhadap disiplin ilmu-ilmu sains sosial, sebaliknya mengabaikan ilmu-ilmu sains tabie.

Penglibatan dan sumbangan Faruqi bersama rakan cendekiawan seangkatannya sebahagiannya telah dapat dilihat pada hari ini. Sumbangan dan iltizam dalam aktiviti kesarjanaan beliau secara serius adalah pemangkin yang mempercepatkan proses Islamisasi khususnya dalam dunia intelektual. Di Malaysia, Faruqi mempunyai puluhan anak didik yang pernah menuntut di Amerika Syarikat. Antaranya termasuklah Profesor Dr. Salleh Yaapar dan isteri, Dr. Fatimah Ali, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Osman Bakar, Dr. Mohamad Nur Manuty, dan Dr. Faisal Osman. Tetapi ramai lagi yang berguru melalui pendedahan dengan membaca karya-karya beliau sekali gus terpengaruh dengan ideologi dan pemikiran beliau.

Tatakala menceritakan pengalaman bersama Faruqi, Dr. Mohamad Nur berkata, sebelum meninggal dunia tokoh ilmuan itu memang berhajat untuk meninggalkan Amerika Syarikat dan institusi yang dipimpinnya untuk berhijrah sama ada ke Malaysia atau Pakistan. Baginya, misi dan tugas beliau di institusi yang didokongnya sudah tercapai. Manakala catatan dalam buku Ismail al-Faruqi: Warisan Zaman Yang Abadi (terjemahan Ahmad Shah Mohd Nor) menceritakan pada malam pembunuhan itu Dr. Salleh Yaapar dan Dr. Fatimah menghabiskan masa bersama beliau sehingga jam 11.30 malam. Mereka sama sekali tidak menyangka itu adalah pertemuan terakhir bersama Faruqi, antara lainnya mereka membincangkan gagasan kesenian Islam.

Menurut Faruqi jika meneliti hasil kesenian Islam seperti permaidani, seni tulisan khat atau seni bina yang ketara ialah suatu daya bentuk berterusan, sambung menyambung tiada akhirnya. Bagi Faruqi, bentuk novel itu sendiri tidak berunsur Islam kerana ia mempunyai plot, iaitu ada permulaan dan pengakhiran walhal kesenian Islam melambangkan teknik dan jiwa al-Quran yang tidak mempunyai permulaan atau akhirnya. Dalam suasana gawat yang dihadapi umat Islam hari ini, Faruqi berpandangan bahawa dunia Islam sedang menghadapi ketandusan intelektual dan tekanan politik manakala dunia Barat pula mementingkan kebendaan, bersikap permisif dan yang lebih dahsyat dunia Barat amat anti-Islam. Pandangan beliau itu nyata masih tepat dan relevan. Justeru umat Islam sendiri mestilah mengambil peranan proaktif, kembali menerajui kepimpinan intelektual dan mengukuhkan perpaduan ummah.

Tahun 2006 yang lalu genaplah 20 tahun pemergian Faruqi. Beliau pergi sebagai seorang syuhada. Sumbangan beliau dalam dunia keilmuan dan kesarjanaan memang tidak ternilai. Wajarlah kita pada hari ini meneruskan iltizam dan warisan intelektual yang ditinggalkannya. Cuma ada persoalan yang masih tidak terungkai sampai hari ini ialah mengapakah beliau dibunuh dengan begitu kejam bersama isterinya? Adakah beliau sengaja dibunuh atau apakah memang terdapat satu konspirasi terancang untuk menamatkan riwayatnya ketika dunia Islam ketika ini sedang memulakan satu babak baru dalam kebangkitan Islam? Wallahu’alam……

No comments: