Saturday, January 17, 2009

Masjid Jamek Kampung Baru......


Masjid Jamek Kampung Baru atau ringkasannya MJKB yang terletak di atas sekeping tanah yang agak luas (kira-kira empat lot) di Jalan Raja Alang, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur dianugerahkan oleh seorang dermawan Melayu bernama Haji Bachik bin Abdullah. Haji Bachik berasal dari Melaka dan mempunyai sebuah rumah di Jalan Melayu. Beliau merupakan seorang pedagang yang menjawat jawatan ketua orang-orang Melayu pada ketika itu di Kampung Hujung Pasir.

Sebenarnya nama Kampung Baru wujud atas dasar penyatuan dari beberapa buah kampung Melayu atau mukim. Pada kira-kira akhir tahun 1880 terdapat tujuh buah kampung yang kedudukannya berdekatan antara satu dengan yang lain. Penyatuan kampung-kampung tersebut telah dilakukan tahap demi tahap kerana penduduk mahukan pentadbiran itu harus diterajui oleh mereka sendiri. Misalnya Kampung Masjid telah menjadi sebahagian Kampung Baru pada tahun 1880, Kampung Baru Atas pula dalam tahun 1890. Kampung Hujung Pasir telah masuk ke dalam ikatan perkampungan itu dalam tahun 1900. Dalam tahun-tahun berkutnya jelas kelihatan jumlah penduduk semakin bertambah.

Berita tentang kemakmuran penduduk-penduduk Kampung Baru telah diketahui umum khususnya oleh peniaga-peniaga yang berulang alik dari Kuala Lumpur ke Klang. Maka orang dari keturunan Jawa tidak mahu ketinggalan untuk mencari rezeki di Kampung Baru. Dalam tahun 1906 ramai orang-orang Jawa berhijrah ke Kampung Baru di satu tempat yang digelar Kampung Paya. Dalam tahun 1914 pula Kampung Periok diterima masuk dalam lingkungan Kampung Baru dengan pembahagian lot-lot tanah untuk tujuan penempatan.

Susunan penempatan semula ini telah diserahkan kepada Kerajaan oleh unit Perancang Bandar pada tahun 1929. Kampung yang asalnya mempunyai 12 buah rumah di pesisir Sungai Klang di sebelah Timur dalam awal tahun 1900, tiga puluh tahun kemudiannya telah menjadi tumpuan pendatang-pendatang dari Ulu Selangor, Kajang dan Klang. Misalnya dalam tahun 1930 di Kampung Baru terdapat 554 buah rumah dengan jumlah penduduk seramai 2600 orang. Jumlah ini meningkat kepada 615 buah rumah dan jumlah penduduknya seramai 3562 orang. Sehingga bulan Mei 1935, 750 lot telah dibahagikan bersama hak-milik sementara. Di antara lot-lot tersebut terdapat lot kepunyaan Tuan Haji Bachik yang kemudiannya telah diwakafkan kepada Lembaga Pentadbir Kampung Baru penghujung 1936 untuk didirikan sebuah surau. Dengan jerih payah bantuan penduduk, maka terdirilah sebuah balai dari lantai dan tiang nibong yang kemudiannya telah ditukarkan menjadi surau. Di kawasan ini juga dijadikan tanah perkuburan bagi penduduk Kampung Baru ketika itu.

Sejak dari itu hingga kini, Masjid Jamek Kampung Baru telah menjadi tumpuan masyarakat kampung. Sebanyak tiga kali bangunan asal telah diruntuhkan. Pada kali yang ketiga masjid yang berbentuk seperti rumah Melaka telah diganti dengan bangunan baru, dengan memohon derma dari setiap penduduk kampung dengan mengenakan RM60.00 bagi setiap individu rumah dan pembayaran boleh dibuat secara beransur-ansur. Sehingga tahun 1955 jumlah kutipan yang dibuat melalui cara itu telah dapat mengumpulkan sebanyak RM30,000.00. Oleh kerana kutipan itu di anggap lambat, satu jawatankuasa yang baru telah ditubuhkan untuk menjalankan kempen mengutip derma dengan lebih aktif lagi. Akhirnya Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM90,000.00 dan sekiranya terdapat kekurangan, orang ramai diminta meneruskan derma baktinya. Maka dengan kehendak Allah, Masjid Kampung Baru telah terdiri dengan belanja sebanyak RM214,000.00 yang mana perletakan batu asas binaan telah disempurnakan oleh YTM Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj pada tahun 1956.

Hari ini, Masjid Jamek Kampung Baru terpaksa menampung lebih dari 7000 orang jamaah setiap hari Jumaat. Dan pada waktu sembahyang tidak kurang dari 500 orang jamaah. Jumlah ini bertambah dari hari ke hari. Sebagaimana biasa kuliah tetap diadakan setiap malam selepas Maghrib, sementara kuliah Subuh pula diadakan selepas Subuh hingga pukul 7.00 pagi setiap hari. Kuliah Subuh mula diadakan pada awal tahun enam puluhan lagi oleh tuan-tuan guru terkenal antaranya allahyarham Anuar Mussadad dan allahyarham Tuan Haji Kiai Fathullah Harun dan disambung oleh tuan-tuan guru lain seperti allahyarham Tuan Haji Mohd Tahir bin Jaafar, allahyarham Tuan Haji Osman bin Mohd Noor (bekas Kadi Kuala Lumpur), allahyarham Ustaz Haji Ahmad bin Ramli dan guru-guru yang lain hinggalah ke masa ini.

Masjid ini secara fizikalnya berukuran 69,665 kaki persegi atau 6,472 meter persegi. Kapasiti untuk menampung jamaah dalam anggaran 7,000 orang jamaah dalam satu-satu masa terutamanya pada hari Jumaat. Masjid Jamek Kampung Baru ini juga dilengkapi dengan dewan solat Muslimin dan Muslimat, pejabat pentadbiran, bilik mesyuarat, bilik tetamu, bilik imam dan bilal, bilik pengurusan jenazah, ruang dapur dan perpustakaan. Dewan Solat Muslimin dan Muslimat dilengkapi dengan kemudahan penghawa dingin untuk memberikan keselesaan kepada para jamaah.

8 comments:

In The Nite Garden said...

teringat aku kenangan masa zaman blajaq dulu ari2 lalu depan masjid ni.. bln puasa beratur ambik bubur lambuk n pi terawih.. ramainya org pakai kain pelekat ;p

gambaq masjid tu kan.. suka la ;p

daSetan_7 said...

Orang pi terawikh nak solat, ni duk CM tengok orang pakai kain pelekatlah pulok. Hmmmmm... :P

Hehehehehehehe.... Tengoklah saper yang ambik :P

In The Nite Garden said...

nasib baik aku tengok jer.. kalau aku kejar depa lg haru ;p

daSetan_7 said...

Tue dia statement. Bukan main lagi naa... :P

In The Nite Garden said...

Skrg dah tak meghela dah ;p FYI statement kedua utk tahun 2009 hohhohoho

daSetan_7 said...

Bravo!! Pencapaian cemerlang :P

In The Nite Garden said...

Kuang ajaqqqqqqqqqqqq!!!!!!!!!!

daSetan_7 said...

Hohohohohohoho.... Tue dia Hajah Jarum :P