Wednesday, September 17, 2008

Perubahan vs Pengalaman

Politik hari ini penuh dengan warna-warninya. Setiap hari pasti ada sahaja kisah-kisah menarik yang akan tercoret di ruang diari politik. Tidak kira politik tempatan, regional mahupun antarabangsa. Tapi yang menariknya, jika kita amati dengan teliti, setiap kisah politik ini pasti akan terdapat dua pertentangan, jika kita ingin melihatnya sekali lagi dari sudut perspektif pertentangan struktural (structural opposition theory). Di satu pihak menawarkan perubahan, dan satu pihak lagi pengalaman. Di mana-mana pun, tak kiralah walau apa pun manifestonya, tapi secara asasnya inilah dua perkara yang akan berputar bila kita meneliti kisah-kisah menarik politik hari ini. Perubahan dan pengalaman.

Konvensyen Parti Demokrat telah berlangsung di Denver, Colorado pada 25-28 Ogos 2008 diikuti dengan Konvensyen Parti Republikan di St. Paul Minnesota pada 1-4 September 2008. Pemilihan calon Naib Presiden kedua-dua parti di AS ini dibuat bertujuan mematahkan serangan parti lawan masing-masing. Senator Barack Obama telah memilih Senator Joe Biden kerana ‘pengalamannya’ sementara Senator John Mc Cain telah memilih Sarah Palin untuk memenuhi agenda ‘perubahan’. Maka, peluru kempen kedua-dua calon menyerang pihak lawan kini menjadi kurang bermakna. Ini kerana kedua-dua calon memilih regu yang boleh menutup kelemahan masing-masing.

Sebaik sahaja John Mc Cain mengumumkan untuk memilih Sarah Palin sebagai calon Naib Presiden Parti Republikan bagi pilihanraya Presiden Amerika 2008, ramai pihak yang agak terkejut dengan pilihan tersebut. Ramai yang menganggap bahawa Mc Cain telah terburu-buru dalam pertimbangan beliau untuk memilih calon Naib Presiden beliau. Namun begitu, terdapat beberapa sebab kenapa Mc Cain memilih Palin sebagai regunya untuk menghadapi pilihanraya Presiden Amerika 2008.

Pertama, bagi memenuhi agenda gender yang dilepaskan oleh Obama apabila tidak memilih Hillary Clinton sebagai calon Naib Presiden Parti Demokrat. Palin merupakan Gabenor wanita pertama dan paling muda, berusia 44 tahun, dalam sejarah pencalonan Naib Presiden Amerika. Namun jikalau kita ingin melihat dari faktor sejarah, Demokrat terlebih dahulu telah mencalonkan Naib Presiden wanita sebelum ini. Parti Demokrat pada tahun 1984 telah menamakan Geraldine Ferraro sebagai calon Naib Presiden Amerika bergandingan dengan Walter Mondale yang kemudiannya kalah kepada Ronald Reagan yang bertanding untuk penggal kedua pemerintahannya sebagai Presiden Amerika dari Parti Republikan.

Kedua, strategi membawa perubahan. Pemilihan Palin yang masih muda itu diharap dapat membalas strategi atau slogan ‘change’, atau perubahan, yang dibawa oleh Obama dalam kempen beliau. Ketiga, pengalama eksekutif Palin. Walaupun hanya dilantik sebagai Gabenor Alaska pada lewat tahun 2006 dan mempunyai pengalaman pendek selama dua tahun, ramai yang melihat pengalaman eksekutif ini adalah lebih menyeluruh berbanding pengalaman Obama yang hanya berkhidmat selama empat tahun sebagai seorang senator.

Keempat, ciri urus tadbir cemerlang yang mewarnai pentadbiran Palin sebagai Gabenor Alaska. Palin telah bertanding jawatan Gabenor dengan melaungkan manifesto reformasi etika. Ini dapat dibuktikan dengan tindakan-tindakan berani Palin yang diambil olehnya ke atas pentadbir Alaska yang sering bersekongkol dengan syarikat minyak gergasi Alaska. Tidak dapat dilupakan, skandal perniagaan dan politik sering menghantui pentadbiran Republikan di Amerika kerana kecondongan parti itu ke arah ‘perniagaan besar’ dan elit perniagaan. Sifat bipartisan Palin dilihat sebagai satu contoh kepimpinan wanita yang berani, berintegriti tinggi dan berprinsip disebalik tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadapnya kerana mengamalkan sikap kronisme dan nepotisme didalam pentadbiran beliau. Namun, sifat-sifat tersebut meruapakan ciri-ciri urus tadbir cemerlang yang diingini oleh setiap masyarakat Amerika kecuali mungkin elit perniagaan!

Kelima, ciri konservatif sayap kanan yang dibawa dan dipegang oleh Palin. Ibu kepada lima orang anak, mempunyai pegangan agama Kristian yang kuat dan mendokong ciri-ciri tipikal Republikan – pro-kehidupan atau anti-keguguran, menyokong penggunaan senjata dan sebagainya. Berdasarkan alasan di atas, Mc Cain telah mempamerkan kebijaksanaan beliau dalam memilih Palin sebagai gandingan beliau. Palin akan berjaya merampas undi mereka yang pernah menyokong Hillary Clinton sebelum ini iaitu golongan wanita berumur 40 tahun ke atas, pengundi bebas dan mereka daripada lingkungan berpendapatan rendah. Palin juga pasti seperti Clinton, akan berjaya meraih undi daripada golongan kolar biru kerana latar belakangnya yang sama.

Kepopularan Sarah Palin jelas terbukti kerana sebaik sahaja nama beliau diumumkan sebagai calon Naib Presiden Parti Republikan, Mc Cain telah berjaya memperoleh wang sumbangan kempen berjumlah USD 4 juta dan dalam tempoh dua hari telah meningkat kepada USD 10 juta. Ramai melihat pencalonan Palin sebagai membawa tenaga baru dan mendakwa akan memberi impak inspirasi dalam kempen Republikan. Sebagai seorang yang bersayap kanan dan konservatif, Sarah Palin mampu membantu Mc Cain dalam meraih undi rakyat Amerika. Ini kerana bukan semua rakyat Amerika itu liberal dan terbuka, masih ramai lagi yang bersifat konservatif sayap kanan dan elemen ini menjadi semakin ketara terutama sekali pasca 11 September 2001. Jelas dalam pilihan raya Presiden Amerika 2008 persaingan yang sengit pasti akan berlaku sebagaimana tahun 2004.

Kita tidak boleh lupa bagaimana George W. Bush yang merujuk kepada strategi bapanya, George Bush, berjaya memenangi pilihan raya Presiden Amerika 2004 dengan majoriti tipis. Ini adalah hasil kejayaan beliau meraih undi sayap kanan evangelikal dan fundamentalis, serta neokonservatif yang sudah pasti akan menyokong Mc Cain serta Palin yang berpegang pada prinsip-prinsip yang sama. Apa yang membimbangkan dunia luar adalah penerusan polisi luar Amerika sebagaimana yang diamalkan oleh Ronald Reagan, George Bush dan George W. Bush hari ini. Pegangan konservatif sayap kanan mereka jelas terserlah dalam polisi luar yang bersifat expansionist. Palin sendiri pernah mengatakan perang di Iraq sebagai ‘god-given task’ dan seterusnya mempertahankan kehadiran tentera Amerika di bumi Iraq. Jelas pegangan Palin begitu mirip dengan amalan George W. Bush selama ini.

Begitulah kisah politik di Amerika. Pertembungan dua parti politik gergasi, Demokrat dan Republikan, sudah pastinya mampu menarik perhatian jutaan manusia baik warga Amerika mahupun bukan warga Amerika. Sepertimana yang aku nyatakan di atas tadi, setiap kisah politik pasti akan melihatkan pertembungan dua struktur. Di Amerika, Demokrat, yang menjanjikan perubahan, dengan Republikan, yang mempertaruhkan pengalaman pentadbiran. Semuanya berkisar pada dua isu sahaja, perubahan dan pengalaman. Rasanya, kita di Malaysia pun tidak kurang bezanya juga. Pertembungan di antara Barisan Nasional (BN) dan jua Pakatan Rakyat (PR). Isunya pun sama juga. Perubahan-perubahan yang dijanjikan oleh pihak Pakatan Rakyat (PR) dan pengalaman-pengalaman mentadbir negara selama 50 tahun yang dipertaruhkan oleh Barisan Nasional (BN). Maka, apakah pilihan kita? Di mana pendirian kita? Tepuk dada tanyalah selera…..


Nota: Karangan ini adalah hasil diskusi bersama teman-teman ketika sedang gembira memasak kek malam kelmarin.

No comments: