Friday, April 24, 2009

Kampung Di Tengah Kota....


Setiap kali menyelusuri bahagian tengah Kuala Lumpur pastinya kita tidak dapat mengelak dari melalui kawasan penempatan orang Melayu yang sangat signifikan bagi warga kota iaitu Kampung Baru. Bagi warga kota, terutamanya orang Melayu, Kampung Baru sangat dekat di hati mereka. Ini kerana sukar bagi kita untuk melihat suasana dan pemandangan kehidupan "orang kampung" di tengah- tengah hiruk pikuk kehidupan bandar. Di bandar-bandar lain negara ini kehidupan kampung dengan pengekalan identiti dan budaya yang biasa diamalkan merupakan satu pemandangan biasa.

Namun berbeza dengan Kampung Baru yang dihimpit dengan rentak kemajuan dan arus pemodenan serta pelbagai bangunan pencakar langit dan mercu tanda moden seperti KLCC dan sebagainya. Suasana sebeginilah yang menambahkan lagi keunikannya sebagai sebuah kampung yang tebal dengan budaya dan tradisi Melayu di ibu kota. Sedikit sebanyak arus pemodenan tidak mampu diketepikan oleh penduduk di Kampung Baru. Namun dengan binaan dan kedudukan rumah yang biasa kita lihat di kampung, apatah lagi masih terdapat rumah-rumah yang tetap utuh dengan ciri-ciri tradisional sememangnya sebagai orang Melayu kita patut berbangga dengan semua tradisi yang masih dipertahankan sehingga kini.

Jika kita menyelongkar tentang kehidupan seharian penduduk di kampung ini sememangnya jalinan perhubungan dan semangat kerjasama masih menebal seperti yang biasa kita lihat di kampung-kampung. Soal-soal kemasyarakatan dan perhubungan penduduk setempat seperti kenduri kendara, kematian, hal-ehwal kejiranan dari yang paling remeh sehingga membabitkan soal-soal yang rumit seperti soal tanah dan sebagainya masih lagi menuntut permuafakatan yang jitu antara penduduk. Keperluan bagi penduduknya untuk terus mengikuti aktiviti dan program keagamaan yang berlangsung di masjid dan surau di sini masih tetap menjadi keutamaan penduduknya. Lebih membanggakan setelah tiga atau empat generasi anak Kampung Baru menetap di sini semua mereka masih tetap mengambil berat antara satu sama lain serta sangat sepakat dalam soal-soal membabitkan kampung kesayangan mereka ini.

Kampung Baru sebuah perkampungan rizab Melayu tunggal di tengah-tengah metropolitan Kuala Lumpur adalah seluas 225.89 ekar dan dibentuk oleh tujuh buah kampung iaitu Kampung Periuk, Kampung Pindah, Kampung Hujung Pasir, Kampung Paya, Kampung Masjid, Kampung Atas A dan Kampung Atas B. Terdapat tiga kategori tanah milik Melayu wujud di Kampung Baru iaitu Tanah Simpanan Melayu, Tanah Simpanan Pertanian Melayu dan Tanah Melayu Diberi Milik. Kampung Baru mula dibuka pada tahun 1899 dan digazetkan setahun kemudian. Sebuah lembaga pentadbir khusus untuk Kampung Baru ditubuhkan serentak dengan pembukaannya sebagai Penempatan Tanah Pertanian Melayu atau Malay Agriculture Settlement (MAS) serta bertanggungjawab kepada Residen British ketika itu dalam menguruskan perkara mengenai pentadbiran kampung.

Kampung ini pada awalnya terbentuk apabila sekumpulan orang Melayu yang tinggal di kawasan Sungai Gombak dan Sungai Kelang terpaksa berpindah untuk memberi ruang kepada pembangunan Kuala Lumpur. Bandar ini ketika itu sedang pesat membangun apabila beberapa projek yang kini menjadi ikon sejarah dan seni bina seperti Kelab Diraja Selangor, Bangunan Pejabat Pos Utama, Victoria Institution dan Bangunan Sultan Abdul Samad sedang dalam pembinaan. Oleh itu Sultan Selangor ketika itu, Sultan Sulaiman atau Sultan Alauddin Sulaiman Syah bin Raja Muda Musa telah memperuntuk sebuah kawasan di tepi Sungai Kelang untuk orang Melayu berpindah dan MAS diwartakan pada 1 Jan 1900.

Menurut Setiausaha Kehormat Lembaga MAS, Shamsuri Suradi, MAS diwujudkan untuk memindahkan orang Melayu yang menghuni pinggir Sungai Gombak dan Sungai Kelang walaupun ketika itu mereka aktif dalam kegiatan perniagaan dan perlombongan. Ini kerana British berpendapat orang Melayu wajar bergiat dalam sektor pertanian dan dengan menempatkan orang Melayu di sebuah kampung khas akan memudahkan anak-anak Melayu menerima pendidikan dan mengambil bahagian dalam pentadbiran. Ini sekali gus memberi peluang kepada penduduk Melayu untuk menikmati sebahagian daripada kemakmuran Kuala Lumpur ketika itu yang kaya dengan bijih timah.

MAS telah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir kampung ini dengan kuasa yang luas antaranya melulus dan menetapkan perjanjian pemberian lot rumah dan pelan bangunan, menyimpan butiran pertukaran serta mengawalselia keselamatan dan kegiatan penduduk. Selain itu MAS turut mempunyai kuasa untuk memberi kebenaran hanya kepada orang Melayu untuk tinggal di sini dengan luas kawasan kediaman tidak melebihi setengah ekar seorang. MAS turut berkuasa mengusir penduduk yang tidak patuh dengan peraturan serta mereka yang mampu memberi ancaman dan dianggap berbahaya kepada penduduk. Menurut Shamsuri, anggota lembaga MAS pada peringkat awal terdiri dari kalangan pegawai tinggi penjajah dan kerabat diraja (Raja Muda Selangor pada asalnya menjadi Yang Dipertua) sehinggalah selepas Perang Dunia Kedua. Di bawah pemerintahan Jepun barulah beberapa orang penduduk Kampung Baru dilantik menganggotai lembaga itu.

Pada masa sekarang, tujuh orang wakil yang dipanggil ahli jemaah dari tujuh buah kampung di sini telah dilantik untuk menganggotai lembaga MAS. Ahli jemaah ini boleh dianggap sebagai penghulu di setiap kampung berkenaan. Beberapa buah kampung kecil seperti Kampung Manggis dan Kampung Sungai Baru turut digabungkan ke dalam Kampung Baru selain beberapa kampung setinggan, iaitu Kampung Limau, Kampung Cendana dan Kampung Paya Baru. Namun disebabkan semua urusan pentadbiran tanah adalah hak lembaga tadbir MAS, ia tidak dapat memenuhi harapan tuan tanah yang berhasrat membangunkan kawasan ini kerana mereka tidak memegang apa-apa surat hak milik yang boleh diurusniagakan hinggalah pada tahun 1960-an.

Bagaimanapun Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Idris yang menjadi pengerusi MAS telah berjaya mengusahakan geran hak milik tanah bagi penduduk kampung ini. Sejarah Kampung Baru ini jika ingin dihuraikan mungkin terlalu panjang apatah lagi pelbagai peristiwa dan cacatan yang amat bersejarah telah berlaku sejak dari awal penubuhannya. Pada peringkat awal kebanyakan jalan-jalan yang terdapat di sini dinamakan dengan nama Inggeris dan pastinya ia dianggap sebagai pelik pada ketika itu apatah lagi Kampung Baru sendiri merupakan penempatan terbesar orang Melayu.

Sebagai contoh Jalan Raja Alang yang sangat terkenal dengan Bazar Ramadan sebelum ini dikenali sebagai Perkins Road. Hale Road yang dinamakan sempena seorang pentadbir British di zaman penjajah kini bernama Jalan Raja Abdullah, Jalan Raja Muda Abdul Aziz di tengah-tengah Kampung Baru dikenali sebagai Princess Road manakala Jalan Dewan Sultan Sulaiman pula pernah dikenali sebagai Stony Road.

Kelab Sultan Sulaiman yang terletak di Kampung Baru merupakan kelab orang Melayu tertua di Malaysia dan semenjak penubuhannya pada 1909, ia telah menyaksikan pelbagai catatan dan peristiwa penting negara. Pada peringkat awalnya penduduk Kampung Baru sering mengadakan perjumpaan di sebuah pondok di sini yang dibina secara gotong-royong. Bangunan baru yang dinamakan Dewan Sultan Sulaiman kemudian didirikan dengan kerja sama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor. Ia dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak pada 30 April 1969.

Bangunan ini telah menyaksikan pelbagai rakaman dan peristiwa bersejarah yang penting untuk orang antaranya Kongres Melayu Pertama pada 1 hingga 4 Mac 1946 yang membawa kepada penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang akhirnya telah mencetuskan gerakan menuntut kemerdekaan. Walaupun sesak dengan pelbagai kepesatan dan bangunan pencakar langit serta lebih dikenali sebagai syurga pusat makanan berbanding keunikannya sebagai sebuah perkampungan Melayu, namun ini tidak menghalang penduduk Kampung Baru dari terus ditenggelami pembangunan.

Secara umumnya penduduk Kampung Baru tidak menolak pembangunan kerana mereka menyedari pembanguan itu adalah sesuatu yang perlu pada era moden sekarang. Namun apa yang dikesali mereka dalam keghairahan mengejar pemodenan, mereka terasa dipinggirkan dan teraniaya dengan tindakan beberapa pihak yang dilihat tamak dalam mengusai kekayaan di sini.

Apatah lagi dengan beberapa insiden penipuan yang pernah berlaku sehingga menganiaya kehidupan mereka telah mengakibatkan mereka berasa serik dengan semua ini. Memang benar terdapat banyak jalan dan kaedah penyelesaian dalam menguruskan tanah yang bernilai lebih RM4 bilion ini namun yang ditakuti mereka ialah adakah semua kaedah ikhlas dan benar-benar menguntungkan mereka? Atau apakah ia akhirnya akan menjadi seperti kampung-kampung Melayu lain di Kuala Lumpur yang akhirnya tergadai hanya atas nama pembangunan.

Apa yang perlu ialah kesungguhan dan keikhlasan dalam membantu penduduk Kampung Baru ini sebagai pemilik asal tanah di tengah kota metropolitan. Jika tidak mungkin lebih baik ia dikekalkan sahaja seperti sekarang sekurang-kurangnya sebagai satu penanda sejarah bahawa satu ketika dahulu nenek moyang kita merupakan pemilik asal semua tanah di ibu kota ini.

9 comments:

Blogger said...
This comment has been removed by the author.
the anThropologist said...

of what?

Blogger said...
This comment has been removed by the author.
Nite Garden said...

Dah lama tak pi mkn kat kg baru n cuci mata tgk org pkai kain pelikat huahuahua

Hidup eden di kolumpo bermulo di kg baru..

the anThropologist said...

Benrauf:
Perhaps you should read my M.A dissertation to understand the whole issue.

Nite Garden:
Yeah dah lama tak melepak kat sana. Windu banget!!

Kampung Baru memang cool. Best giler kan :P

Nite Garden said...

Bg aku sendiri mmg byk kenangan mengusik jiwa di kg baru.. kenangan bubur lambok di masjid kg baru terlalu nostalgik.. cuma sethn jer tinggal disana tp setiap kali pi kg baru smpai skrg pasti terimbau memori disana.. haih suddenly dramatic ler pulok hehehe

the anThropologist said...

Yeah you are right. Apatah lagi Kampung Baru terlalu banyak sentimen ke-Melayuan yang ada di situ. Memang happening. Kampung di tengah kota :D

Nite Garden said...

Gambo baju pink tuh! Chomot laaar ;p

the anThropologist said...

Correction. Chomel okay :D