Friday, September 26, 2008

Dan Senyuman Mereka, Manis......

Umur aku dah genap 26 tahun bulan ini. Walaupun pada hari tersebut aku tidak ada di sini, namun mereka semua tidak lupa pun mengucapkan selamat hari lahir pada ku. Dan di kejauhan, kegembiraan itu masih terasa walaupun ada terpalit rasa gelisah. Gelisah waktu itu kerana pelbagai perkara. Runsing minda ku. Tapi itu bukan kisahnya kali ini.


Yang ingin aku coretkan ialah setelah berumur 26 tahun ini, aku baru terfikir tentang kehidupan aku yang lalu. Seronok juga waktu kecil-kecil dulu. Kisah melastik burung dengan biji getah. Kisah bermain rakit ketika hari atau musim hujan. Kisah makan aiskrim selepas abis sekolah sampai comot baju sekolah. Kisah panjat pokok rambutan sampai jatuh terseliuh kaki. Macam-macamlah. Semuanya lengkap; suka, duka, gembira, ketawa, menangis. Semuanya ada. Tapi bila aku fikir-fikir balik, tidak semua kanak-kanak akan melalui zaman dan waktu sedemikian. Apatah lagi kalau mereka tiada tempat bergantung, hilang ayah dan ibu.


Lantas aku menyimpan satu cita-cita di sudut sanubari aku, kalau diizinkan Tuhan, aku ingin membuka rumah dan sekolah anak-anak yatim. Aku sedar cita-cita itu masih jauh untuk aku capai. Maka aku mulakan dengan rumah anak-anak yatim yang tempoh hari aku hulurkan bantuan. Wajah-wajah comel mereka buat hatiku rasa teramat gembira. Senyuman mereka buat aku turut rasa gembira. Soalan-soalan mereka aku layan dan aku jawab satu per satu. Yang kelakarnya, ada yang memanggilku abang, dan ada jua yang memanggilku ayah. Namun aku membiarkan sahaja apa yang mereka ingin memanggilku. Dan aku harap, ole-ole yang aku dan teman-teman bawa tempoh hari dapat menzahirkan rasa gembira buat mereka menyambut Syawal kali ini. Dan aku bercita-cita, kalaulah aku punyai banyak wang pada masa hadapan, akan ku bawa mereka mengembara melihat dunia. Dunia yang penuh pancaroba. Biar mereka tahu dan sedar, indahnya dunia ini, luasnya dunia ini. Dan biar juga mereka tahu, dunia ini bukan hanya batu-bata yang melingkari kehidupan mereka itu. Tapi lebih dari itu.


Pesanku sebelum meniggalkan mereka; jalanilah kehidupan kamu semua dengan senyuman. Senyuman pasti akan menceriakan!!


Buat ayah; jikalau kau ada menyaksikan kesemua ini, ku harap kau gembira. Tiada sesaat pun waktu yang berlalu, aku melupai nasihat-nasihat mu. Moga ini mampu buat mu tersenyum.......

Monday, September 22, 2008

Buat kamu, sampai ke syurga.......

Pusing. Pusing dengan apa yang berlaku. Aku tidak pasti apa ketentuan Nya. Sudah acap kali aku dihadapkan dengan permasalahan begini, malah tidak putus-putus ianya datang. Kenapa? Satu persoalan yang tidak dapat aku rungkaikan. Hanya yang Esa punyai jawabannya. Aku tidak sama sekali ingin mengadu-domba di sini. Tidak sama sekali. Cukuplah apa yang telah berlaku. Namun aku pusing, ribut minda ku berfikir. Apakah pengakhirannya kali ini?

Kenapalah aku begitu cuai memberikan kad itu pada si dia? Itu tidak mengapa. Yang menjadi persoalannya kenapa 'dia' menulis sedemikian? Aduh..... Apalah nasib badan ku ini. Mencintai seseorang setengah mati, namun hanya persahabatan yang dihulurkan. Dan kini orang lain pula yang menyatakan cinta. Pusing. Pusing. Pusing kepala ku. Jujur, dia hanya ku anggap seperti adik. Tidak lebih dari itu. Memang kami sering berjenaka, bergurau-senda tapi ku kira aku tidak pernah berlebih-lebih.

Vincent sudah tahu. Lantas wajahnya tidak luntur dengan senyuman. Kalau senyuman manis tiadalah masalahnya. Tapi ini senyuman nakalnya, yang panjang melebar. Urghhh. Lagilah tensi aku dibuatnya. Dan aku yakin, selepas ini pasti telefon bimbitku akan berdering-dering menerima panggilan telefon ataupun khidmat pesanan ringkas. Lagilah tensi. Haih.....

Apa yang ada di minda dan dada ku tika ini hanyalah nyanyian. Nyanyian lagu yang teramat ku minati waktu ini. Dan untuk dia..........

ku membenarkan jiwaku
tuk mencintaimu
ku persembahkan hidupku
tuk bersama kamu
dan diriku...untuk kamu
belum pernah kumerasai begitu
semua itu telah berlalu
harapan ku palsu
dan mungkin hari yang satu
terus ku tertunggu
dihatiku..masih kamu
belum pernah ku ingin terus menunggu
aku lemah tanpa kamu
ku ingin mu dampingiku
aku fahami aku bukan terbaik
tuk dirimu
sampai syurga kumenunggu
sampai syurga kucintamu
hanya satu
hanya kamu
ku membiarkan hatiku
tuk merinduimu
ku menghamparkan sakitku
tuk tatapan kamu
bersamamu...harapanku
hilang dlm terang
yang membutakanku
dan segalanya yang ku ada
ku berikan semua
untuk dirimu saja
ku mahu dirimu, bahagia tuk selamanya
biar sampai syurga
aku mununggu cinta darimu
agar ku sempurna
namun aku tetap aku
yang terbaik tuk diriku
hanya satu
aku lemah tanpa kamu
kuingin mendampingiku
aku fahami aku bukan terbaik tuk dirimu
sampai syurga kumenunggu
sampai syurga kucintamu
hanya kamu......
aku lemah tanpa kamu
ku ingin mu dampingiku
aku fahami aku bukan terbaik
tuk dirimu
sampai syurga kumenunggu
sampai syurga kucintamu
hanya kamu

Wednesday, September 17, 2008

Perubahan vs Pengalaman

Politik hari ini penuh dengan warna-warninya. Setiap hari pasti ada sahaja kisah-kisah menarik yang akan tercoret di ruang diari politik. Tidak kira politik tempatan, regional mahupun antarabangsa. Tapi yang menariknya, jika kita amati dengan teliti, setiap kisah politik ini pasti akan terdapat dua pertentangan, jika kita ingin melihatnya sekali lagi dari sudut perspektif pertentangan struktural (structural opposition theory). Di satu pihak menawarkan perubahan, dan satu pihak lagi pengalaman. Di mana-mana pun, tak kiralah walau apa pun manifestonya, tapi secara asasnya inilah dua perkara yang akan berputar bila kita meneliti kisah-kisah menarik politik hari ini. Perubahan dan pengalaman.

Konvensyen Parti Demokrat telah berlangsung di Denver, Colorado pada 25-28 Ogos 2008 diikuti dengan Konvensyen Parti Republikan di St. Paul Minnesota pada 1-4 September 2008. Pemilihan calon Naib Presiden kedua-dua parti di AS ini dibuat bertujuan mematahkan serangan parti lawan masing-masing. Senator Barack Obama telah memilih Senator Joe Biden kerana ‘pengalamannya’ sementara Senator John Mc Cain telah memilih Sarah Palin untuk memenuhi agenda ‘perubahan’. Maka, peluru kempen kedua-dua calon menyerang pihak lawan kini menjadi kurang bermakna. Ini kerana kedua-dua calon memilih regu yang boleh menutup kelemahan masing-masing.

Sebaik sahaja John Mc Cain mengumumkan untuk memilih Sarah Palin sebagai calon Naib Presiden Parti Republikan bagi pilihanraya Presiden Amerika 2008, ramai pihak yang agak terkejut dengan pilihan tersebut. Ramai yang menganggap bahawa Mc Cain telah terburu-buru dalam pertimbangan beliau untuk memilih calon Naib Presiden beliau. Namun begitu, terdapat beberapa sebab kenapa Mc Cain memilih Palin sebagai regunya untuk menghadapi pilihanraya Presiden Amerika 2008.

Pertama, bagi memenuhi agenda gender yang dilepaskan oleh Obama apabila tidak memilih Hillary Clinton sebagai calon Naib Presiden Parti Demokrat. Palin merupakan Gabenor wanita pertama dan paling muda, berusia 44 tahun, dalam sejarah pencalonan Naib Presiden Amerika. Namun jikalau kita ingin melihat dari faktor sejarah, Demokrat terlebih dahulu telah mencalonkan Naib Presiden wanita sebelum ini. Parti Demokrat pada tahun 1984 telah menamakan Geraldine Ferraro sebagai calon Naib Presiden Amerika bergandingan dengan Walter Mondale yang kemudiannya kalah kepada Ronald Reagan yang bertanding untuk penggal kedua pemerintahannya sebagai Presiden Amerika dari Parti Republikan.

Kedua, strategi membawa perubahan. Pemilihan Palin yang masih muda itu diharap dapat membalas strategi atau slogan ‘change’, atau perubahan, yang dibawa oleh Obama dalam kempen beliau. Ketiga, pengalama eksekutif Palin. Walaupun hanya dilantik sebagai Gabenor Alaska pada lewat tahun 2006 dan mempunyai pengalaman pendek selama dua tahun, ramai yang melihat pengalaman eksekutif ini adalah lebih menyeluruh berbanding pengalaman Obama yang hanya berkhidmat selama empat tahun sebagai seorang senator.

Keempat, ciri urus tadbir cemerlang yang mewarnai pentadbiran Palin sebagai Gabenor Alaska. Palin telah bertanding jawatan Gabenor dengan melaungkan manifesto reformasi etika. Ini dapat dibuktikan dengan tindakan-tindakan berani Palin yang diambil olehnya ke atas pentadbir Alaska yang sering bersekongkol dengan syarikat minyak gergasi Alaska. Tidak dapat dilupakan, skandal perniagaan dan politik sering menghantui pentadbiran Republikan di Amerika kerana kecondongan parti itu ke arah ‘perniagaan besar’ dan elit perniagaan. Sifat bipartisan Palin dilihat sebagai satu contoh kepimpinan wanita yang berani, berintegriti tinggi dan berprinsip disebalik tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadapnya kerana mengamalkan sikap kronisme dan nepotisme didalam pentadbiran beliau. Namun, sifat-sifat tersebut meruapakan ciri-ciri urus tadbir cemerlang yang diingini oleh setiap masyarakat Amerika kecuali mungkin elit perniagaan!

Kelima, ciri konservatif sayap kanan yang dibawa dan dipegang oleh Palin. Ibu kepada lima orang anak, mempunyai pegangan agama Kristian yang kuat dan mendokong ciri-ciri tipikal Republikan – pro-kehidupan atau anti-keguguran, menyokong penggunaan senjata dan sebagainya. Berdasarkan alasan di atas, Mc Cain telah mempamerkan kebijaksanaan beliau dalam memilih Palin sebagai gandingan beliau. Palin akan berjaya merampas undi mereka yang pernah menyokong Hillary Clinton sebelum ini iaitu golongan wanita berumur 40 tahun ke atas, pengundi bebas dan mereka daripada lingkungan berpendapatan rendah. Palin juga pasti seperti Clinton, akan berjaya meraih undi daripada golongan kolar biru kerana latar belakangnya yang sama.

Kepopularan Sarah Palin jelas terbukti kerana sebaik sahaja nama beliau diumumkan sebagai calon Naib Presiden Parti Republikan, Mc Cain telah berjaya memperoleh wang sumbangan kempen berjumlah USD 4 juta dan dalam tempoh dua hari telah meningkat kepada USD 10 juta. Ramai melihat pencalonan Palin sebagai membawa tenaga baru dan mendakwa akan memberi impak inspirasi dalam kempen Republikan. Sebagai seorang yang bersayap kanan dan konservatif, Sarah Palin mampu membantu Mc Cain dalam meraih undi rakyat Amerika. Ini kerana bukan semua rakyat Amerika itu liberal dan terbuka, masih ramai lagi yang bersifat konservatif sayap kanan dan elemen ini menjadi semakin ketara terutama sekali pasca 11 September 2001. Jelas dalam pilihan raya Presiden Amerika 2008 persaingan yang sengit pasti akan berlaku sebagaimana tahun 2004.

Kita tidak boleh lupa bagaimana George W. Bush yang merujuk kepada strategi bapanya, George Bush, berjaya memenangi pilihan raya Presiden Amerika 2004 dengan majoriti tipis. Ini adalah hasil kejayaan beliau meraih undi sayap kanan evangelikal dan fundamentalis, serta neokonservatif yang sudah pasti akan menyokong Mc Cain serta Palin yang berpegang pada prinsip-prinsip yang sama. Apa yang membimbangkan dunia luar adalah penerusan polisi luar Amerika sebagaimana yang diamalkan oleh Ronald Reagan, George Bush dan George W. Bush hari ini. Pegangan konservatif sayap kanan mereka jelas terserlah dalam polisi luar yang bersifat expansionist. Palin sendiri pernah mengatakan perang di Iraq sebagai ‘god-given task’ dan seterusnya mempertahankan kehadiran tentera Amerika di bumi Iraq. Jelas pegangan Palin begitu mirip dengan amalan George W. Bush selama ini.

Begitulah kisah politik di Amerika. Pertembungan dua parti politik gergasi, Demokrat dan Republikan, sudah pastinya mampu menarik perhatian jutaan manusia baik warga Amerika mahupun bukan warga Amerika. Sepertimana yang aku nyatakan di atas tadi, setiap kisah politik pasti akan melihatkan pertembungan dua struktur. Di Amerika, Demokrat, yang menjanjikan perubahan, dengan Republikan, yang mempertaruhkan pengalaman pentadbiran. Semuanya berkisar pada dua isu sahaja, perubahan dan pengalaman. Rasanya, kita di Malaysia pun tidak kurang bezanya juga. Pertembungan di antara Barisan Nasional (BN) dan jua Pakatan Rakyat (PR). Isunya pun sama juga. Perubahan-perubahan yang dijanjikan oleh pihak Pakatan Rakyat (PR) dan pengalaman-pengalaman mentadbir negara selama 50 tahun yang dipertaruhkan oleh Barisan Nasional (BN). Maka, apakah pilihan kita? Di mana pendirian kita? Tepuk dada tanyalah selera…..


Nota: Karangan ini adalah hasil diskusi bersama teman-teman ketika sedang gembira memasak kek malam kelmarin.

Monday, September 15, 2008

Buat Kita Semua

Khamis lalu, 11 September 2008, menandakan genapnya tujuh tahun peristiwa September 11 yang mana permata kebanggaan warga Amerika Syarikat, Pusat Dagangan Dunia (WTC) telah berjaya dirobohkan oleh mereka-mereka yang kononnya digelar sebagai pengganas dunia oleh pentadbiran George W. Bush. Namun hakikatnya sampai ke hari ini, kita tidak pasti sejauh mana kebenaran fakta tersebut. Terlalu banyak telahan dan andaian yang dibuat. Tapi kebenarannya agak sukar untuk kita pastikan. Baru-baru ini aku ada membaca tulisan John L. Esposito, Unholy War. Beliau ada menceritakan secara terperinci sejarah kehidupan Osama dari seorang anak saudagar yang kaya-raya hingga pengakhirannya menjadi seorang pengganas global. Pusing kepalaku. Aku tidak pasti adakah benar kenyataan tersebut. Malahan Esposito berhujah semua itu berlaku kerana fahaman fundamentalis radikal Wahhabi, ditambah dengan hubungan rapat beliau dengan beberapa tokoh radikal[??] Islam, yang antara lainnya ialah Dr. Azzam Tamimi, Dr. Syeikh Hassan al-Banna, Sayyid Qutb dan ketaksuban beliau terhadap fikrah (pemikiran) Ibn Taimiyyah.

Padaku, aku tidak berapa pasti sejauh mana keakraban hubungan bin Laden dengan tokoh-tokoh tersebut. Itu tidak dapat aku pastikan. Namun, apa yang aku benar-benar pasti ialah Wahhabi bukanlah fahaman fundamentalis radikal (rujuk penjelasan Syeikh Abdur Rahman as-Sudaisi, Imam Masjid al-Haram, dalam karya Abdur Rahman Momin, Islam and the West, New Delhi: Institute of Objective Studies), Dr. Azzam Tamimi adalah seorang ulama’ yang senantiasa mengajar dan menulis tentang peri-pentingnya kesederhanaan dalam kehidupan Muslim (rujuk al-Mujtama’ al-Islami, Beirut: Darussalam), Dr. Syeikh Hassan al-Banna menentang sebarang bentuk radikal dan sikap melampau-lampau dalam agama (rujuk karangan Sano Koutoub Moustapha, Biography of Muslim Scholars, Kuala Lumpur: IIUM Press) dan Ibn Taimiyyah tidak pernah, walau sekali, dalam karyanya yang amat banyak itu, menulis fahaman-fahaman ekstremis (rujuk tulisan Mohd Asri Zainal Abidin, Salah Faham Terhadap Ibn Taimiyyah, Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka). Oleh yang demikian, bulan lalu, ketika aku menghadiri syarahan Esposito di Universiti Malaya, aku secara peribadi ada berhujah dengan beliau tentang perkara-perkara tersebut. Dan aku berpandangan sumber rujukan beliau terlalu amat berat sebelah, lantas tidak mencerminkan sifat neutral seorang ahli akademik. Banyak karangan-karangan tokoh-tokoh tersebut tidak dirujuk secara terperinci, dan tulisan-tulisan yang bersifat simpatetik terhadap mereka tidak langsung diambil peduli. Kenapa? Walhal selama ini ramai yang mengatakan Esposito adalah seorang orientalis Barat yang senantiasa berhujah tentang Islam ‘dari dalam’. Pusing kepala ku.

Lalu, aku berhajat untuk menulis satu karangan untuk menerangkan salah faham tersebut. Perlu ingat, niat ku bukan untuk mempertahankan bin Laden, tapi untuk menerangkan bahawa Wahhabi bukan fahaman radikal, Azzam Tamimi, Hassan al-Banna, Sayyid Qutb dan Ibn Taimiyyah bukanlah tokoh-tokoh Islam yang menyebarkan fahaman-fahaman keganasan. Aku tidak mahu golongan muda Muslim seluruh dunia nanti, bila membaca tulisan Esposito, percaya akan fakta yang kurang tepat itu. Aku tidak nafikan, diantara mereka, ada yang bersikap keras dalam pandangan mereka dalam beberapa perkara. Contohnya Ibn Taimiyyah, dalam membahaskan keperluan jihad dan keadaan-keadaan yang memerlukan jihad dilaksanakan. Tapi beliau ada menegaskan bahwa dalam apa jua situasi, adalah menjadi I’tikad (pegangan) ahlus sunnah wal jamaah untuk tidak menentang kerajaan yang dipimpin oleh seorang yang masih mempercayai keEsaan Allah dan beriman kepada ajaran Muhammad s.a.w. Jelas pandangan yang menolak sebarang bentuk keganasan dan sikap melampau-lampau, dan jauh sekali berbeza dengan apa yang difahami dan dianuti oleh bin Laden (rujuk wawancara antara bin Laden dan wartawan al-Jazeera dalam tahun 2003 di laman web stesen televisyen tersebut). Namun, aku tidak pasti bila aku dapat menterjemahkan hajat ku ini. Agak sibuk, letih, malas (seperti biasa kerana itu sikap ku!!!), dan agak kurang fokus buat masa ini.

Pesan ku buat semua, zaman pasca 11 September ini menuntut kita semua agar lebih bersedia dari segala aspek. Jangan kita terlalu lalai dengan perkara-perkara yang tidak memberikan sebarang manfaat, baik kepada diri kita sahaja, mahupun kepada seluruh ummah. Zaman ini juga memerlukan umat Islam menguasai ‘ilmu pengetahuan dan teknologi, dimana kita terlalu amat jauh ke belakang jika hendak dibandingkan dengan masyarakat Barat. Sikap ta’asub terhadap hiburan, perkara-perkara yang melalaikan perlulah dibuang jauh-jauh. Minat untuk membaca dan mencari ilmu perlu ditanam dan dipupuk untuk mengelakkan umat Islam terus terjerumus dalam lembah kejahilan. Kata sarjana Amerika berketurunan Turki, Muhammad Fethullah Gulen “adalah sesuatu yang menyedihkan untuk kita menyaksikan umat Islam zaman ini terlalu terikut-ikut dengan budaya hedonism yang dibawa oleh Barat, lantas melemahkan daya intelektual mereka” (The Essentials of Islamic Faith, Berkeley, California: Mizan Press). Dan kata Saiyidina ‘Umar al-Khattab, “indahnya Islam itu terletak pada sifatnya yang melarang umatnya bertaklid, dan senantiasa menyuruh umatnya berfikir dan berta’akul” (Tarikh at-Tabari, Beirut: Darussalam).

Nota penghargaan:
Aku nak ucap terima kasih ler pada mika-mika yang telah wish besday aku last week.
To budakSetan7: Ken n Eve (lekas-lekas dapat baby tau!!), Vincent (biler nak masuk Islam??) n ‘Aisyah, Simon n Liz (mana keta kebal aku!!!), Jerry, Kelvin (thanx coz jadi orang pertama yang wish!!) dan Allysa (biler mau kawin???). Thanx ler coz tahun nie korang semua dah memenuhkan wardrobe aku tue. Korang nie duk pakat ke yang semuanya bagi baju nie?!!
Tak lupa gak thanx to M and Lisa for your wishes n gifts. Tingkayu banyak2!!
To enGENIUS, time kasih banyak2 for the giant kad tue. Aku tau tue musti idea taufiq kan. Hahahahahaha……
To RM, thanx ler for being loyal frenz selama ini. Hope u guys sihat-sihat saja!!
Dan tak lupa gak to SG-BITCHES: Kyle, Edmund, Hanif, Azhar, Iskandar, Eka, Fadhilah, Firdaus dan As. Thank you for the wish!!!! Biler korang mau turun KL?? N ada orang janji nak blanje aku makan kat Concorde kan. Sape yer? Kyle? Fadhilah? ;p
N yang lain-lainlah yang wish tue, time kasih daun keladi. Siapa lagi??? Hmmm. Ntah ler. Lu pikirlah sendiri (",)