Thursday, May 5, 2011

Bicara Ku Pada Mereka....


Ramai yang bertanyakan tujuan aku menyertai dunia pendidikan sedangkan peluang pekerjaan yang lebih menarik sedang menunggu. Persoalan mereka semua itu tidak dapat ku jawab kerna pada waktu itu, aku sendiri kurang pasti kenapa aku begitu berharap untuk menyertai bidang yang aku ceburi ini. Hendak dikatakan aku suka mengajar, terus terang tahap kesabaranku akan menipis jika mereka yang aku berikan penerangan tidak memahaminya langsung – satu ciri-ciri guru yang sangat tidak elok dicontohi!! Apa yang aku pasti ketika itu hanyalah minatku yang mendalam untuk melaksanakan kajian-kajian ‘ilmiah untuk memahami struktur budaya dan masyarakat yang kompleks. Aku begitu terpesona bila membaca kajian-kajian ahli antropologis Barat terhadap masyarakat Asia seperti Clifford Geertz dalam kajiannya terhadap masyarakat Bali dan Jawa; E.E. Evans-Pritchard dalam kajiannya terhadap masyarakat Nuer di Sudan; Edmund Ronald Leach dalam kajiannya terhadap masyarakat Shan dan Kachin di Burma; dan beberapa ahli antropologis Barat yang lain. Itu sahaja jawapan yang aku ada untuk mereka pada waktu itu……

Pun begitu, setiap peredaran masa pasti disertai dengan perubahan. Begitu jua dengan jawapan ku. Ada suatu ketika, aku dihadiahkan sebuah naskhah agung karya Dr. Abdul Hamid Abu Sulayman, Rektor UIAM yang kedua sebelum Tan Sri Profesor Dr. Mohd Kamal Hassan. Karya Dr. Abdul Hamid itu bertajuk ‘Crisis in the Muslim Mind.’ Abdul Hamid Abu Sulayman dalam karya ini berhujah bahawa masalah utama yang dihadapi umat Islam ketika ini bukanlah masalah ekonomi mahupun politik, tetapi adalah masalah pendidikan dimana budaya materialistik berleluasa dikalangan muda-mudi Islam dan mereka melihat menuntuk ‘ilmu itu suatu jalan (means) untuk mencapai kenikmatan material di dunia, bukanlah jalan untuk mengenal lebih mendalam apatah lagi mencintai Tuhan mereka. Lebih memburukkan keadaan bila ramai umat Islam tidak serius dalam menuntut ilmu dan untuk itu Abdul Hamid menekankan adalah menjadi tanggungjawab guru sebagai ‘murabbi’ untuk membimbing mereka dalam menuntut ‘ilmu dalam memahami Pencipta mereka.

Terus terang aku katakan aku sangat terkesan dengan karya ini. Lantas aku berazam untuk menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang ‘murabbi’ dan moga-moga ianya menjadi satu ‘amal yang kecil yang dapat aku persembahkan buat Tuhanku di mahsyar nanti. Dan minat ku yang awal itu, tidaklah ku matikan begitu sahaja. Ianya menjadi alat penyeri yang aku rasa akan senantiasa menceriakan perjalanan ku di muka bumi ini untuk mencari mardhotillah.

Pun begitu, tugas tersebut tidaklah mudah untuk ku. Terlalu banyak dugaan yang harus aku tempohi dalam membimbing mereka. Dan yang paling menyedihkan bilamana aku dilabel sebagai seorang yang ‘kedekut markah’ malahan terkenal dikalangan mereka sebagai seorang yang suka menggagalkan mereka. Pernah aku bertanya pada diri ku sendiri, adakah semua ini benar? Adakah aku suka-suka untuk menggagalkan mereka? Dan semakin banyak aku bertanya, semakin keyakinan ku bertambah untuk terus menyedarkan mereka bahawa sesungguhnya menuntut ‘ilmu itu suatu kewajipan agama, bahawa kegagalan mereka adalah kerana sikap mereka yang endah tak endah dalam menuntut ‘ilmu. Hingga satu tahap aku pernah menangis di hadapan mereka merayu untuk mereka bersikap lebih serius dalam menuntu ‘ilmu, pun begitu natijahnya masih sama……

Kini setelah hampir empat tahun aku di sini, aku masih mencari-cari jalan yang sesuai membimbing mereka, cara yang sesuai untuk mengubah sikap skeptikal mereka dalam merentasi lautan ‘ilmu di taman ‘ilmu dan budi ini…

1 comment:

Nite Garden said...

Buat mereka yg bergelar pendidik, barangkali mereka juga merasai perasaan yg sama dgn kamu..

You've done your best to deliver..